Sunday 11 November 2012

Tangisan Awan by Araf

Huh...! Agak lama tidak ku update blog aku ini... Well nak kongsi cerpen aku sendiri hari ini... Tajuk dia tangisan awan...


            Di sebuah bangku kayu itu, terdapat seorang remaja lelaki. Hisyam namanya. Sebelahnya terdapat sebuah buku, di mana dia menulis cerita tentang hidupnya. Buku itu adalah diari miliknya. Cuaca pada petang itu agak redup, tak terlalu panas kerana matahari terlindung oleh awan. Mungkin sahaja hari itu akan hujan atau mungkin hanya persinggahan sebalik wajah suram awan. Dia sendirian. Angin yang meniup membawa dia ke zaman silam, di mana dia masih lagi kecil. Dia mempunyai seorang teman bermain ketika kecil, Misya namanya.
            Pintu diketuk oleh Hisyam. Misya menjenguk ke arah tingkap dan terus berlari ke arah pintu. Pintu dibuka. Misya menjemput Hisyam masuk. Hisyam duduk di atas sofa sementara Misya mengambil kertas lukisan dan pensil warna. Misya mengajak Hisyam untuk beralih ke meja di ruang tamu. Misya mengambil sehelai kertas kosong lalu diberinya kepada Hisyam, Misya berkata yang dia mahu mereka lukis kenangan terindah dalam hidup mereka. Pada waktu itu, mereka berdua sudah berumur lapan tahun. Mereka ditempatkan di kelas yang sama iaitu, darjah Dua Musytari. Pensil warna yang berwarna hijau dicapai oleh Hisyam. Lakaran rumput dilakar di atas kertas itu. Mereka tekun melukis dan mewarnakan kertas masing-masing.
            Hisyam tersedar dari lamunannya, telefon bimbitnya berdering. Ibunya mengatakan bahawa ada seorang perempuan mencarinya, seorang teman yang sekian lama terpisah. Panggilan dimatikan. Hisyam mencapai diarinya dan terus menuju ke kereta. Hujan mula turun membasahi bumi. Dalam perjalanan, dia teringatkan lagi kenangan-kenangan itu.
            Sesudah selesai melukis, mereka menceritakan maksud yang tersirat di sebalik lukisan mereka. Hisyam menunjukkan lukisannya. Dua orang lidi yang terdapat dalam lukisan tersebut diterangi cahaya matahari dan orang-orang lidi tersebut berdiri di atas rumput yang hijau kekuningan. Hisyam menerangkan bahawa rumput perlukan matahari untuk hidup. Dua orang lidi itu adalah mereka berdua. Hisyam berkata bahawa mereka adalah sahabat selamanya. Itulah kenangan terindah bagi Hisyam. Misya mengangguk dan tersenyum. Setibanya giliran Misya, Misya menunjukkan lukisannya, di mana pelangi dilukis bersebelahan dengan awan mendung yang di bawahnya terdapat titisan hujan. Dua orang lidi sedang berdiri di bawah titisan hujan dan dua orang lidi di bawah pelangi. Hisyam bertanyakan kenapa pelangi harus berada jauh daripada hujan. Misya bertanya adakah Hisyam masih teringat waktu hujan turun beberapa hari yang lepas, di mana mereka berlari untuk berteduh, menanti hujan berhenti, apabila hujan berhenti, terbitnya pelangi. Misya berkata,itulah kenangan terindah baginya, berlari dalam hujan dan melihat pelangi. Di sebalik tangisan awan,pastinya akan terbit pelangi yang indah. Misya tersenyum dan disusuli dengan senyuman Hisyam.
            Seminggu berlalu, Misya tidak ke sekolah. Hisyam tertanya-tanya akan apa yang sudah berlaku padanya. Sesudahnya kelas pada tengah hari itu, Hisyam menyuruh ibunya untuk singgah di rumah Misya. Hisyam berlari menuju ke rumah Misya setelah keluar dari kereta. Rumah itu kosong. Hisyam bertanya kepada jiran Misya, ke mana Misya telah pergi. Jiran Misya hanya mampu menggeleng kepala, mengatakan bahawa ibu Misya telah meninggal manakala Misya telah dibawa pergi oleh ibu saudaranya. Hisyam menangis di situ, terduduk.
            Hisyam tersedar dari lamunannya. Dia sudah tiba di rumah. Dia memberi salam dan membuka pintu. Seorang wanita yang cantik menjawab salamnya. Airmata Hisyam gugur. Misya mendekati Hisyam dan meminta maaf kerana dia tidak sempat untuk mengucapkan selamat tinggal pada waktu itu. Airmata Hisyam disapu oleh Misya manakala Hisyam menyapu airmata yang terdapat di pipi Misya. Misya mengimbas kembali kata-katanya, di sebalik tangisan awan,pastinya akan terbit pelangi yang indah. Mereka tersenyum.

No comments:

Post a Comment